Friday, June 12, 2009

Bersama mak dan abah di waktu cuti

nnn" Dik, tiket kau angah dah boli, pukul 7mlm hari Jumaat", "Ok, thanks, nanti kau tolong amik yo kat airport". Aku menyampaikan sms kepada abangku yang aku panggil angah. Selalunya jika aku ingin pulang ke kampung untuk bercuti panjang, aku akan menyuruh angah atau along yang tolong belikan tiket flight sebab mereka memiliki kad kredit yang mudah ditempah online. Cuti kali ini adalah amat bermakna bagi aku, Inilah cuti yang terpanjang pernah aku lalui sepanjang pengajianku di Sarawak ini. Aku sudah menyiapkan barang2 untuk dibawa pulang, termasuk sedikit ikan terubuk masin dan kek lapis Sarawak sebagai ole-ole untuk dibawa pulang. Petang itu keputusan peperiksaan ulangan telah pun keluar dan aku gagal dalam peperiksaan. Ini bermakna aku terpaksa mengulang tahun pengajian semula dan masuk kembali bersama pelajar muda setahun dariku. Ini juga bermakna cutiku dapat dipanjangkan lagi untuk menunggu semester baru bermula. Setiba di airport, angah mengambil aku bersama isteri dan seorang anak perempuannya.  Aku masih berasa sedih mengenangkan kegagalan peperiksaan aku. Namun aku tidak pula lokek untuk memberitahu tentang berita itu pada angah. Pada malam itu aku tinggal di rumah angah dan kami pulang ke kampung keesokan harinya. Dalam perjalanan pulang, aku masih memikirkan betapa beratnya untuk memberitahu akan hal ini pada mak. Mesti mak akan berasa sedih..



2 jam perjalanan dari Seremban menuju ke rumahku di Felda Pasoh 2 seperti singkat bagiku, mungkin kerana aku sudah mula merindui mak dan abah walaupun kami hanya 2 bulan tidak berjumpa. Suara mak yang aku selalu dengar melalui telefon setiap minggu kini akan aku dengar setiap hari. Wajah mak yang sayu  selalu memandang dan menatap wajahku lama-lama. Aku menyedari hal itu.

Kampung di Feldaku ini  banyak yang berubah, kelihatan banyak rumah-rumah yang dahulunya kayu bertukar menjadi rumah batu. setelah menuruni sebuah bukit dan membelok ke kiri, kereta angah meluncur laju ke satu rumah yang berwarna merah jambu iaitulah rumah kami. Di halaman rumah kelihatan sebuah kereta perodua viva berwarna silver kepunyaan abang iparku. Setibanya dirumah, aku terus mengangkat barang kepunyaanku dan masuk ke dalam rumah. Bunyi kereta angah di halaman rumah membuatkan mak keluar menyedari anaknya pulang. Aku bersalam dengan mak dan abah, lalu meletakkan ole-ole yang aku beli di dapur. Ole-ole itu mak bahagikan untuk diberikan pada jiran terdekat. Itulah titik permulaan cutiku di rumah.

Pada malam itu, aku memberitahu mak tentang berita kegagalan aku di dalam peperiksaan. Mak kelihatan tidak menibulkan reaksi sedih. Mungkin cerita itu seolah sudah biasa hinggap di telinga mak kerana sebelum ini juga aku pernah gagal peperiksaan berkali-kali.

Sebagai seorang mahasiswa yang biasa, aku juga memanfaatkan cuti seperti pelajar yang lain. Menonton televisyen, tidur yang panjang, mendengar lagu, seolah-olah tiada apa lagi perkara untuk dilakukan. Lama-kelamaan aku menjadi bosan dengan hal itu. Aku bertanya kepada mak, "Mak apo kojo yang dapek dibuek kek ghumah ni?' secara spontan mak menjawab, "Banyak, poie siram pokok bungo, sapu sampah belakang gumah tua haa". selalunya inilah jawapan yang mak akan bagi kalau aku menanyakan soalan ini. Aku teringin juga untuk mencari kerja yang bergaji mudahan dapat menanggung duit poket sepanjang cuti ini tetapi aku tak sanggup untuk meninggalkan emak kerana aku sangat jarang untuk dapat bercuti bersama mak.

Pada suatu pagi selepas subuh, aku tidak dapat tidur balik. Biasanya selepas solat Subuh aku akan tidur semula kerana tidak ada apa yang ingin dilakukan, aku termenung di pintu belakang rumah, kelihatan daun pada pokok cempedak banyak yang gugur. Lalu dengan hanya berkain pelekat aku mengambil pencakar dan terus menyapu daun di belakang halaman rumah, semakin lama aku semakin bersemangat membersihkan halaman belakang rumah. Kelihatan buah-buah kwinin (sejenis buah rasanya seperti mangga) yang banyak busuk jatuh di tanah. Aku mengambil sarung tangan kebun yang selalu mak pakai dan mengutip buah-buah yang busuk itu lalu aku buang ke tapak pembuangan sampah. Sampah yang aku kumpulkan lalu aku bakar. Walaupun agak penat aku terasa berpuas hati kerana halaman itu sudah menjadi bersih.  Aku teringat sewaktu kecil dahulu di belakang rumah ada sepohon pokok jambu air yang selalu berbuah mengikut musim. Di bawah ada laluan longkang dari bilik air dan sinki di rumah yang mengalir ke belakang rumah. selalunya, buah jambu yang busuk akan jatuh ke dalam longkang dan untuk membersihnya terpaksa mengutip buah yang busuk itu. Kalau mak menyuruh aku mengutip buah itu, selalunya aku akan merasa mahu muntah kerana jijik dan jarang aku melakukan perkara tersebut kecuali terpaksa. Kini, pokok jambu itu sudahpun ditebang.

2 minggu aku dirumah dengan kerehatan yang panjang, tiba2 satu sms masuk kedalam telefon bimbitku. "akhi, antum sedang bercuti kan? antum kena pergi liqa negeri nanti".  Liqa adalah satu perjumpaan dimana aku perlu pergi ke Seremban untuk berjumpa dengan kawan-kawanku yang lain seperti usrah . Untuk itu, aku meminta kebenaran pada mak, " Mak, Adik nak poie seromban khamis ni, nak jumpo kawan". Aku membahasakan diriku adik kerana aku adalah anak yang paling bongsu di dalam keluarga. Aku teringat sewaktu di sekolah menengah aku malu dengan gelaran itu lalu aku cuba menukarnya dengan membahasakan diriku sebagai 'orang' namun ditegah oleh mak.  Kini aku sudah biasa dengan gelaran itu di kalangan keluarga malahan ada di antara jiran ramai yang memanggilku dengan gelaran tersebut. " lamo ko nak poie tu? Jumpo dengan pompuan ko? " ,

"Mano ado, nak poie jumpo kawan yang kek matrik dulu, potang sok balik laa", kami sekeluarga memang menggunakan loghat Negeri Sembilan sebagai bahasa komunikasi dalam keluarga. Mak dilahirkan di negeri sembilan manakala abah pula orang seberang kampung mak. Jadi kami memang adalah anak jati negeri sembilan.

" yolah, kalau lambek nanti kau tidurlah ghumah angah ko along ko esok tu balik". Kebenaran dari mak itu membuatkan aku gembira. Aku bersyukur kerana dibenarkan oleh mak untuk pergi ke liqo'.  Aku banyak mendengar cerita bahawa ramai ibu bapa yang akan menghalang anaknya untuk menghadiri liqa' sewaktu cuti namun aku bersyukur pada Allah atas kebaikan mak.  Dalam seminggu aku akan pergi ke Seremban sekali. Biasanya jika terlambat untuk pulang aku akan tidur di rumah angah untuk sementara waktu. Jadualku semakin banyak untuk aku keluar pada waktu cuti. Urusan yang paling beratuntuk aku lakukan ialah aku terpaksa menghadiri perkemahan pada penghujung cuti panjangku nanti. waktu perkemahan itu juga berlangsungnya perkahwinan anak jiranku yang dekat dengan rumahku. Aku bercadang untuk terus ke airport sebaik selesai perkemahan itu dan tidak terus pulang ke rumah. Selepas berdoa pada Allah, aku meminta kebenaran pada mak, ternyata mak membenarkan. Aku berasa sangat bersyukur pada Allah. Aku juga tidak pasti mengapa kini mak terlalu senang untuk memberi kebenaran padaku sedangkan pada waktu dahulu mak selalu berasa curiga jika aku ingin keluar rumah. Namun, aku juga tidak lupa berdoa semoga Allah terus melembutkan hati mak. Sebelum pergi aku juga sudah memberitahu hal ini pada jiranyang ingin melangsungkan perkahwinan anaknya itu.

Sepanjang cuti juga aku telah tidak tersengaja menyakiti hati mak.  Sewaktu kami sekeluarga makan, abah menceritakan perihal mak . "mak kau ni kunci jam pandai, lopeh tu tutup yo jam tidur balik" . Terus tiba-tiba aku menambah , " haah aritu nak poie semayang Subuh, kaki mak yo kek lantai, kepalo baring lagi dokek bantal". Kami sekeluarga mentertawakan tentang hal itu. Tapi mak terus diam selepas itu, barulah aku merasakan yang mak sedih tentang hal itu. Aku berasa sedih sekali kerana menyakiti perasaan mak tapi aku juga tak minta maaf pada  mak akan hal itu. Tetapi sesudah peristiwa itu, mak adalah orang yang terlebih dahulu mandi untuk solat Subuh daripadaku. Aku juga sering dikejutkan mak untuk solat Subuh.

Bercerita tentang abah, abah adalah seorang yang pendiam dalam keluarga, selalunya abah akan bercakap dan bercerita bila bersama keluarga namun apabila aku dan abah sahaja berdua seperti di dalam kereta aku jarang untuk berbual dengan abah.  Aku sangat mengagumi abah, perwatakan abah di rumah dan di masjid adalah sangat berbeza. Di rumah abah tidak seperti bapa yang lain yang suka melepak di kedai kopi , abah rajin berkebun pada waktu petang. Di kebun, abah menanam pokok salak dan pokok sawit. Semua keluargaku suka memakan buah salak tetapi aku tidak suka kerana rasanya kelat. Aku suka makan buah mangga dan kwinin tapi aku jarang mengupas sebab malas. Selalunya selepas makan, abahlah yang rajin megupas buah tersebut dan menghidangkan pada kami sekeluarga sebagai pencuci mulut. Jikalau selepas makan aku terus ke bilik, abah akan memanggil aku untuk menjamah buah. Selalunya kami akan makan selepas isyak kerana selepas maghrib abah akan selalu sibuk. Abah selalunya akan mengajar budak-budak mengaji di surau berdekatan. Tetapi jika tidak mengajar, abah akan pergi ke masjid untuk mengajar tajwid pada jemaah masjid. Memang abah seorang yang gigih. Dulu abah mempunyai sebuah kolam ikan. Di dalam kolam abah bela banyak ikan seperti ikan bawal piranha dan ikan talapia merah. Dari satu kolam abah buat lagi satu kolam, lalu lama kelamaan abah mencantumkan kolam tersebut menjadi sebuah kolam yang besar. Sewaktu kecil aku suka sewaktu air kolam hendak dipam keluar untuk mendapatkan ikan. Jika air kolam sudah kering, ikan-ikan akan mula timbul di permukaan dan senang dikutip menggunakan tangan. namun sekarang kolam itu sudah menjadi kolam terbiar. Abah malas untuk mengusahakannya lagi kerana ikannya selalu dicuri oleh penagih dadah yang ramai di kampungku itu. Aku juga teringat sewaktu aku pernah untuk diugut oleh budak penagih dadah di kampungku. Sewaktu aku membawa motorsikal keliling kampun lesen motorku tercicir lalu telah dikutip oleh budak pengih dadah. Aku diugut untuk memberi rm 20 untuk dapatkan semula lesen tersebut. AKu memberitahu aku mahu pulang untuk mengambil duit di rumah. Hal ini aku beritahukan pada abah. Lalu abah membawaku untuk berjumpa dengan penagih tersebut. Apabila berjumpa abah, penagih itu terus memberikan lesen itu kepadaku. Abah memang seorang yang dihormati di kampung.

Cuti ini aku rasakan lain, aku begitu senang untuk berbual dengan abah, apa yang aku bualkan ialah tentang cerita tentang apa yang terjadi di kampung, cerita tentang budak-budak penagih dadah yang abah akan ceritakan satu persatu.  Abah juga bertanyakan pada aku tentang ikan sungai yang aku tahu sepanjang hidup aku. Soalan ini aku rasakan pelik kerana abah jarang menanyakan aku soalan. Selalunya abah yang menanyakan aku soalan.

cuti yang panjang ini aku terlalu banyak makan. Memang masakan mak sedap tetapi aku bukan jenis yang suka makan cuma mak selalunya akan masak banyak dan aku terpaksa menghabiskan makanan tersebut kerana membazir. Selalunya lauk yang mak masak yang tidak habis dimakan mak akan memanaskannya untuk dimakan pada esok hari. Aku tidak ada lauk kegemaran khusus jika dirumah .Selalunya mak pasti akan masak gulai lemak cili api. bagiku apa sahaja gulai lemak cili api pasti akan sedap jika dimakan bersama dengan kicap tapi harus meletakkan kuah gulai dulu. sekiranya meletakkan kicap dahulu, kuah akan jadi hitam dan tidak selera untuk dimakan.

Setelah beberapa lama aku bercuti maka tiba masanya untuk aku pulang memulakan sem yang baru, aku terpaksa pulang awal kerana ingin mengikuti satu perkemahan di perak dan aku akan terus pulang ke airport selepas perkemahan selesai. sewaktu ingin pergi, aku memberitahu mak bahawa aku tidak punya cukup wang lalu mak memberiku beberapa ratus untuk belanja dan tambang ke sana. Mak memesan padaku sentiasa menelefonnya selepas pulang nanti lalu aku memandang wajah mak, mak terus mendakap aku dan menangis, mungkin cutiku yang panjang ini terasa singkat bagi mak melepaskan rindunya pada aku. Aku cuba menenangkan mak dengan mengusap kepala mak. Namun tak aku sedari aku mula hiba dan mula mengalirkan air mata. begitu banyak pada waktu cuti ini aku menceritakan kepada mak, tentang hidupku di universiti, tentang wawasan diriku, tentang gadis pilihanku, tentang banyak perkara yang aku pelajari sewaktu di universiti. Mak juga asyik menceritakan betapa dia akan merindui aku apabila aku pulang nanti dan itu membuatkan aku sedih.  Selepas mencium mak, aku mencium dan bersalam dengan abah.

Lalu aku akan pulang semula pada hari Raya nanti insyaAllah. Kebaikan mereka kepadaku dan cara mereka meluahkan perasaan sayangnya kepadaku membuatkan aku selalu rindu pada mereka. Aku mendoakan agar Allah memberikan yang terbaik untuk mereka.

1 comment: