Friday, November 19, 2010

Aku ker mat tembok Facebook?

"Kamu ni budak yang ikut usrah tu eh?, eh jom jom ikut pakcik datang rumah. Tidur rumah pakcik laa malam nih. Nanti kejap lagi pakcik panggil makcik kamu. Maknyer! ni ada sorang budak usrah ni datang rumah nih tolong masakkan sedap-sedap untuk dia nih. Malam ni dia tidur rumah kita. Ohh lupa, nanti pakcik suruh anak-anak dara pakcik kemaskan bilik tidur kamu nanti. Pakcik ada 3 orang anak dara. seorang baru habis belajar kat Madinah, seorang lagi baru masuk belajar diploma kulinari, yang bongsu tu haa, baru lepas SPM. Anak kalau berkenan yang mana-mana anak bagitahu yer pakcik. Tu sumer ada gambar lekat kat dinding tuu.Apa? duit takder? takper jangan risau, Kalau takder duit nanti Semua pakcik support. Anak belajar kat mana? Tak habis lagi? Ada masalah kewangan tak nak belajar? Kalau ada bagitahu jer pakcik. Pergi kuliah pakai apa? Apa! jalan kaki jer, takper esok kita pergi kedai kereta, mana-mana kereta yang kamu berkenan pakcik belikan..."

Ternyata penceritaan da'wah tidak langsung seperti ini. Hinggakan angan-angan seperti ini langsung tidak pernah berkisar di medan otak para-para sahabat seusrahku yang berkematu punggung bermeeting dan berusrah memikirkan bagaimana untuk menghadirkan perbaikan pada diri mereka dan umat Islam umumnya. Mereka rungsing , resah, takut, gelisah memikirkan kehidupan mereka yang payah, takut sang adik yang tidak faham jadi buntu akal dan cari helah untuk keluar usrah dan macam-macam lagi hal yang mereka fikirkan. Padahal tidak siapa yang tahu, dan tidak siapa yang ingin peduli. Hanya mereka-mereka ini, siapa tahu bersengkang mata menghadap Allah dengan kesukaran yang mereka alami.

Aku tak pernah peduli semua ini sebenarnya. Kerana berapa ribu orang di dunia ini yang pernah aku temui hanya pandai berfalsafah bermadah punjangga pasal Islam dan da'wah. Dan berapa ramai juga yang hanya menunggu-nuggu dan berlari-lari seolah mengejar sesuatu padahal akhirnya mereka sendiri tak tahu apa yang mereka kejar-kejarkan. Tetapi kerana ketidakpedulian aku itu, Allah menemukan aku dengan orang-orang yang hebat ini. Mereka sedar yang mereka harus akur sebagai pelajar dan menghadiri kuliah namun mata mereka seolah dapat meneliti bahawa kehidupan persekitaran mereka agak bermasalah dan siapa lagi kalau bukan mereka yang merasa beban menanggung semua ini. Mereka ini tak pernah rasa ingin melemah waktu diuji, tak pernah mengimpikan mendapat pujian peribadi, tak pernah rasa ingin mencari sesuatu yang hanya semata mendapat kepuasan hati. Apakah orang ini spesies yang hampir pupus yang tak akan ada lagi di Bumi ini 50 tahun akan datang? Kerana ketidakpedulian aku terhadap orang-orang ini, aku terpanggil untuk sama-sama mengikat hati aku ini dengan hati mereka. Semoga di akhirat nanti, aku dapat berselindung atas kebaikan-kebaikan yang aku lakukan bersama-sama mereka-mereka ini.

Kepada budak-budak usrah seluruh dunia nih (perghhh ayat macam OBAMA). Aku nak nasihat supaya kita ni walau camaner sekalipun keadaan diri kita (macam xde ilmu ker, xberapa nak berakhlak baik ker) dan rupa paras kita (ok. aku tahu korang tak berapa nak hensem), ikutlah usrah dengan keikhlasan hati yang maksimum ikhlas kerana Allah. Jangan mudah mengalah dengan apa benda sekalipun kerana pejuang itu hanya mengimpikan kemenangan tapi tak pernah kalah dengan kekalahan.

Dan buat sesiapa yang takut nak berusrah dengan apa cara watak alasan dan sebab sekalipun ingatlah "pengecutan yang paling besar adalah tidak berani melangkah".
Buat orang-orang yang inginkan kebaikan dalam dirinya. Gua rasa lu kena ikut usrah. Tapi kalau awak rasa ikut cermah politik ker, dengar tazkirah ker, baca artikel agama kat facebook ker bleh buat gua berubah dalam masa 4 minggu sambil dapat menurunkan berat badan dan buat gua jadi lebih hensem, gua confirm akan join korang semua. Hakikatnya tak pernah macam tu pun daa... In fact this is not a fairy tale story. Gua pun tak pernah nampak bidadari syurga turun depan mata waktu gua sedang berusrah ini pulak penyanyi-penyanyi ni heboh cerita tipu cakap pernah tengok bidadari laa apa laa (I mean dalam lirik lagu). So, at least gua tak tipu korang, gua tak pernah poyo cam diorang.

Apa-apa hal pun, saya tahu saya tak berapa nak macam ustaz laa. Tapi yang aku tahu selama aku hidup, aku tak pernah nak rasa peduli pasal diri aku sekarang sampai laa aku join usrah aku rasa diri aku dan orang disekelilingku ada bermasalah dan aku mahu semuanya berubah jadi baik. Dan selama aku join usrah, aku tak pernah rasa diri aku kebal tak lut kalau kena tembak ngan pistol, atau tumbuh sayap jadi baik macam malaikat. Tapi selama aku merasakan apa yang aku buat ni satu benda yang baik, mudah-mudahan benda ni jelaa yang aku nak hadapkan kat Allah nanti jadi penghapus amal buruk aku dan jadi modal untuk aku nak masuk syurga nanti. Itu ajer. Dan aku tak pernah langsung nak mengimpikan aku dapat tackle anak dara orang ker, nak dapat bini cam ustazah ker dengan title usrah nih, tapi secara tak langsung buat aku jadi segan nak tackle sapa2 gadis pun biarpun yang si minah tu cantiknya semesta alam, kawan2 beribu-ribu, dan ada lebih 1000 comment cakap "comel" kat profile pics facebook dier. Aku rasakan adalah lebih baik aku jadi lelaki "perasan hensem tak ganggu orang" dari jadi mat "tembok takde kerja niat tackle orang dengan ayat berkias-kias ni".

Astaghfirullahalazim, Astaghfirullahalazim, Astaghfirullahalazim. Mudahan Allah mengampuni segala dosa aku nih dan perbaiki akhlak aku. Takut juga aku nanti tak laku nanti. Hahaha. Takdelaa gurau.

Oklah. Salam.

p/s: Esok aku ada meeting. Kepada ikhwah-ikhwah, semoga meeting kita akan mendapat rahmat Allah.

Tuesday, November 16, 2010

Life must go on.....

Tadi malam aku tak dapat tidur. PUkul 4 baru dapat lelap, dan aku ada kelas 8.30 pagi. Cantekkk. Memang mengantuk. Nasib just pergi makmal melawat cenggitu cenggitu jer. Makmal virology kat hospital dan makmal-makmal lain memang crowded skiet. Dan mendapat nasihat free dari lab technologist pasal hati-hati dalam ambik darah orang takut nnt kita dapat HIV atau HepB memang sangat berguna pada diri sendiri.

Dan malam ini juga aku tak dapat tidur biarpun mengantuk dah ni. Puas berguling-guling tak dapat jugak. Mungkin lupa nak mandi tadi kot. Takpe lepas ni aku try mandi jap. Tapi dah nak dekat Subuh dah. Alaaaa...

Esok hari Raya Aidiladha. Sejak 4 tahun lepas masuk ke Universiti memang aku tak pernah menyambut raya haji kat rumah. Ingat waktu 1st dan 2nd year mak mesti nangis bila call waktu raya sebab semua akan kumpul dekat rumah kecuali aku si anak bongsu. Tapi lama-lama hal itu dah takde lagi. Raya haji memang tak semeriah sejak dari dahulu lagi. Kalau di kampung, kerjaya abah sebagai penyembelih bertauliah (ada sijil tu woo. gua tak tipu punyer) akan sibuk menyembelih dan melapah daging di masjid. Kalau aku ada, aku akan jadi sibuk menjadi destpach penghantar daging ke rumah yang layak menerima daging korban. Baju raya? Err terhad dari pagi sampai lepas sembahyang raya. Lepastu dah tak pakai dah. Tapi paling best ialah: SUP TULANG... hahaha. sup tulang kat rumah memang terbaik, sambil lemak melekat-lekat kat bibir rasa macam pakai lipstick.

Aku punya family memang dah takder masalah dengan raya haji. Mak Abah semua dah settle tunaikan haji. Pada mak abah korang yang belum lagi bekersempatan tu eloklah approach diorang pergi awal-awal. Bila diorang dah pergi dan balik dengan selamat, kita juga akan rasa tenang. Bila diorang balik, macam2 cerita yang diorang akan bawak. Tak habis-habis. Bila sampai jer raya haji, cerita tu akan diulang-ulang dan akhirnya diorang akan cakap, "hai kalaulah dapat pergi lagi". Arwah uwan dulu sampai mengimpikan nak meninggal kat sana. Tapi apakan daya hajat tak kesampaian. Takpolah wan.

Selama aku hidup, jujurnya aku tak pernah kisah pun tentang raya haji. Meriah ker tak meriah ker, apa ker. Semua macam tak bagi effect jer. Kalau Ramadhan ader laa. Rasa iman macam up sket. Aku tak pernah kisah tahun tu ader lembu ker tak nak korban, balik kampung ker tak, baju dah siap ker, nak plan peri mana. Tak tak tak... tak pernah. Even aku pernah tertinggal solat sunat waktu balik raya haji time belajar kat matrik dulu. Sebab... emmm sebab.... errr... apa eh?

Aku rasa mungkin bila.. eh bukan bila laa, kalau.("Bila" cam tak sesuai jer.) Emm mungkin kalau aku jadi lembu ker, kambing ker, mungkin aku lebih menghargai raya aidiladha kot. Sebab waktu tu akan terpilih jadi calon-calon untuk korban kan..mungkin laaa..

Tapi kalaulah kambing atau lembu yang dijadikan korban tu menghargai pengorbanan yang diorang buat atas nama Allah. Waktu itu aku rasa aku akan jadi malu semalu malunya. Kalau kambing boleh cakap "aku dah buktikan aku sanggup demi Allah, korang bila lagi", mungkin aku takut, lari sejauh-jauhnya , taknak makan daging kambing yang perli aku tuuu sebab sangat laa malu.
"Bing, bukan aku tak nak bing. Cuma aku malas jer. Kau ngan abang Bu (lembu) dah ader an, cukup laaa". aku pun akan bagi alasan kat kambing sebab malu.

But life must go on, selain kita sanggup berkorban demi apa-apa sahaja objek dan hal yang kita cintai sukai, jangan laa kita tak sanggup bekorban demi benda baik tapi berat untuk kita buat. Habis kita ingat kambing lembu sumer tu suker ker jadi bahan korban? oh tak mungkin. Berat untuk diorang lakukan pengorbanan tuuu, kita jer dengan sesuka hati makan sup tulang sambil tak rasa pengorbanan diorang. (diorang tak sesuai, guna emm diabinatang)

Bukannyer tak boleh kalau nak berkorban demi nak memiliki sesuatu yang kita suka atau cintai, tapi bila benda baik kita langsung ralat dan tak mahu berkorban, nampak sangat laa kita ni poyo dan hanya nak sesuatu untuk dirasai kita sendiri jer. Harap kita semua faham. Sebab tu laa aku selalu banyak fikir pasal ni. Seimbang dalam berkorban tu sngat laa penting. Sepertinya kita mendapat gizi seimbang dalam makanan. Kalau kita banyak makan makanan yang sedap dan berelemak berkrim jer sampai kita lupa nak makan sayur yang tak sedap yang mempunyai serat yang banyak. Kesannya bukan kat orang lain tapi pada diri kita jugak, kita akan jadi berlemak yang berlebihan dan beralun-alun dan akan dapat sembelit.

Oklaa.. aku takde hallah dengan korang sumer. Jadi selamat hari raya aidiladha. Smeoga jemaah haji Malaysia selamat pulang membawa haji yang mambrur. Melaburlah di tabung haji kerana dividen tahunan yang tinggi dan potongan zakat secara automatik disamping sumber pelaburan yang halal. hahaha macam promoter tabung haji pulak. Okla okla. salam.

Thursday, November 11, 2010

Tadabbur surah Luqman

Tadabbur surah Luqman

Pelbagai riwayat telah menceritakan perihal Luqman. Ada riwayat mengatakan Luqman adalah seorang nabi manakala ada pendapat yang dipegang kuat oleh kebanyakan Muffasirin yang mengatakan bahawa Luqman adalah hamba Allah yang telah diberi hikmat oleh Allah s.w.t. Hikmat itu yang bertujuan untuk bersyukur kepada Allah seperti yang diterangkan di dalam Al-Quran dalam surah Luqman ayat ke 12,

“dan sesungguhnya Kami telah mengurniakan hikmat

kepada Luqman (dia berkata) Bersyukurlah kepada Allah! Dan barang siapa bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri ; dan barangsiapa tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Mahakaya, Maha Terpuji.”

Ayat Luqman surah 13-19 adalah berupa nasihat Luqman kepada anaknya. Di dalam himpunan ayat ini pelbagai pengajaran yang dapat diambil khusus kepada yang bergelar anak dan juga kepada seseorang yang telah menjadi ibu-bapa. Ibu-bapalah yang harus dulu termotivasi dan mengetahui perihal cara atau isi apakah yang harus disalurkan sebagai nasihat kepada anak-anak mereka. Seringkali kita melihat tidak sedikit ibu-bapa yang ketandusan isi dan idea untuk menasihati anak-anak mereka lebih-lebih lagi semua nasihat itu hanyalah untuk mengawasi anak mereka dari memalukan keluarga. Anak-anak ini buntu dan salah faham tentang kehidupan di dunia dan melalui permasalahan dunia di kala umur mereka hanya di awal kematangan dengan terumbang-ambing. Di kala kita melihat pelbagai masalah sosial yang melanda sekarang, dan kita tidak tahu apakah ini salah ibu-bapa atau guru atau remaja itu sendiri, mari kita semak tentang ayat dalam Surah Luqman ini. Penulis hanya ingin berkongsi beberapa ayat kerana had penulisan yang terbatas.

13. “Dan (kenangilah) ketika Luqman berkata kepada anaknya semasa

memberi nasihat kepadanya: Wahai anakku! Janganlah engkau sekutukan

Allah, sesungguhnya syirik itu adalah satu kezaliman yang amat besar.”

Hal yang pertama yang dinasihatkan Luqman pada anaknya adalah berkisar tauhid. Umumnya semua orang mengetahui akan hal ini sehingga ramai yang terlepas pandang dan mengambil ringan akan hal ketauhidan kepada Allah ini. Namun dengan kebijaksanaan Luqman yang diceritakan di dalam Al-Quran, haruslah kita akui bahawa ketauhidanlah yang harus diajari kepada anak-anak sebelum diikuti dengan nasihat-nasihat yang lain. Contohnya seperti soal yang umum berkisar dengan masyarakat seperti cinta. Dewasa sekarang anak-anak sampai jadinya tersalah tafsir tentang cinta. Ibu-bapa pula terlalu mengambil mudah hal ini dan tidak kisah tentang hal cinta ini. Kesannya anak-anak lelaki terlalu mudah untuk mengungkap cinta, dan anak-anak wanita terlalu mudah untuk menerima hal-hal berupa cinta ini dari sang laki-laki. Perkara ini tidak salah, suatu hari hal yang terjadi (seperti jatuh cinta) pasti akan terjadi. Soalnya nanti lama kelamaan takut cinta akan menjadi syirik kepada Allah tanpa kita sedari. Syirik kepada Allah yang kesannya bukan sedikit. Kes-kes anak gadis yang sanggup melarikan diri mengikuti teman lelaki, di rogol beramai dengan teman-teman kawan lelaki ini bukan satu hal yang patut di ambil ringan. Tidak juga ramai yang kecewa atas cinta yang mereka agungkan ini. Ada juga yang tertekan hidup ditinggalkan kekasih seolah dunia ini bukan segala-galanya pada mereka. Ada yang sanggup membunuh diri. Inilah kesyirikan yang kita selalu buta untuk melihatnya. Apakah erti ketauhidan kepada Allah bererti juga mencintai Allah itu lebih dari segala-galanya ini pernah diajari atau dinasihati oleh anak-anak muda ini oleh ibu-bapa mereka? Sepertinya Luqman yang menasihati anaknya? Hakikatnya nasihat ini adalah satu nasihat yang sangat jujur hanya untuk anak-anak itu mendapat kebaikan yang sedikit sekali dinasihatkan pada anak-anak.

14. “Dan Kami telah menyuruh manusia supaya berbakti kepada dua orang

tuanya. Dia telah dikandung ibunya yang mengalami kelemahan demi

kelemahan dan masa lepas susunya dalam dua tahun. Bersyukurlah

kepada-Ku dan kepada dua ibu bapa engkau dan kepada-Ku tempat

kembali.”

Suatu hubungan yang harmoni perlu diterapkan di dalam keluarga walaupun soal aqidah tetaplah soal nombor satu untuk diutamakan. Nasihat anak-anak untuk berbakti dan menghormati orang tua perlu diterapkan dan diulang-ulang seperti banyaknya nasihat ini terkandung di dalam Al-Quran. Ini kerana biarpun separuh dari umur kita diberikan kepada orang tua kita nescaya kita tidak dapat membalas pengorbanan yang diberikan pada kita. 2 tahun umur setelah kita dilahirkan, ibu bapa lah sangat-sangat memerhatikan anak-anak mereka. Terlihat wajah keceriaan pada diri mereka ketika melihat perkembangan anak mereka dari hanya terbaring, mampu meniarap, merangkak, berjalan dan berlari. Ini semua diperhatikan oleh ibu –bapa. Saat melihat anak-anak lambat berjalan seperti anak yang lain walaupun hanya beberapa bulan, muka kerisauan muncul pada wajah ibu-bapa ini. Pun begitu hal ini tidak dapat kita rasai hinggalah kita sendiri yang melaluinya suatu hari nanti. Betapa kita menyayangi zuriat kita, dan betapa kecewanya diri kita saat anak-anak kita itu menjadi permasalahan dan menjadi rosak di hadapan mata kita. Oleh itu, berbaktilah kepada orang tua dan nasihatilah anak-anak supaya sentiasa berbakti kepada orang tua dengan berkali-kali.

Dan ada banyak lagi nasihat yang patut kita ambil di dalam ayat seterusnya surah Luqman. Mudahan ianya menjadi sumber inspirasi untuk mwujudkan satu sistem kekeluargaan yang harmoni.

Saturday, November 6, 2010

Akulah budak usrah yang perasan hensem dan baik.




Sedikit menceritakan beberapa kisah ringkas yang berlaku pada saya beberapa minggu yang lalu. Pertamanya saya telah ditugaskan untuk berada di wad ortopedik selama beberapa minggu. Kebetulan saya terjumpa seorang ikhwah dari UITM Kota Samarahan yang melawat datuknya yang dimasukkan ke dalam wad selepas tergelincir dari lantai. Minggu lalu juga sewaktu berjalan-jalan di sebuah pusat membeli belah bersama rakan sekelas saya , ternampak ikhwah dari Universiti Swinburne. Kami bersalaman dan berpelukan bersentuh pipi ala-Arab yang masih lagi dianggap pelik oleh sesetengah orang. Saya ditanya oleh rakan sekelas saya bagaimana perkaitan saya dengan ikhwah dari Universiti swasta itu, saya hanya tersenyum dan menjawab pendek, “semuanya kerana Usrah”.

Ukhuwah adalah sesuatu yang manis. Seakan melihat laskar-laskar semut berderetan mengikuti aliran air gula yang mengalir begitulah rasa manisnya hingga tak pernah kenal lelah dan payah, tak pernah menilai rupa dan perilaku. Hinggakan berukhuwah tak pernah kenal waktu.Begitulah bagaimana Sirah para Rasul diterangkan pada kita sebagai suatu teladan. Umat Yathrib tak kenal bagaimana rupa saudaranya yang akan berhijrah. Begitupun mereka jadi rindu menunggu penghijrahan mereka. Menyambut dengan penuh kasih-sayang dan siapa tahu ukhuwah yang terjalin itu mampu menggencarkan musuh di medan perang, mampu mengalahkan Yahudi yang tak putus-putus memasang dendam, mampu membina sebuah negara sempurna yang tak ada gantinya pada masa kini. Juga mampu mempunyai sebuah tamadun yang hebat yang diceritakan di buku-buku sejarah sehingga kini. Semuanya atas dasar ukhuwah. Namun ada unsur sulit yang masuk kedalam jiwa mereka membuat ukhuwah mereka setegar itu iaitu Aqidah Islam. Namun kunci itulah yang meny

ebabkan perjalinan ukhuwah terkandas. Mahu berukhuwah namun bukan atas dasar ini, nilainya tak membuahkan nikmat dari Allah, hasilnya tidak manis dan tidak dapat merasai kelazatan Iman. Lalu metode atas semua ini terus dari diri sendiri. Untuk menjanai sebuah usrah/halaqah yang berfungsi mendidik diri kita. Lalu secara tidak lansung Allah menurunkan nikmatNya dan kita akan merasai kelazatan anugerahNya. Teorinya cukup ringkas namun kita lihat betapa ramai yang mengelak untuk diusrahkan mungkin kerana nama “Usrah” atau “Halaqah” itu terlalu baik atau terlalu rendah

atau mungkin harus ditukar kepada yang lebih ganas atau pop seperti “Kumpulan Helang Rimba” atau “Persatuan Bunga Melati” untuk para akhowat?. Biarpun atas apa alasan sekalipun, hakikatnya beruntunglah pada sesiapa yang Allah tunjukkan jalan. Siapa tahu hakikat ukhuwah ini mampu mengulangi sejarah yang lalu. Samaada ukhuwah ini mampu membina suatu daulah Islamiyah seperti dahulu atau tidak itu tergantung kepada Kebijaksanaan Sang Maha Penguasa dan manifestasi amalan dan susah payah kita beramal. Namun yang tetap pasti, ukhuwah atas aqidah yang ikhlas dan diredhai Allah inilah yang memberi imbalan pada jiwa-jiwa mereka di dunia dan akhirat.

(Artikel ni mahu dihantar sebagai tugasan usrah jugak maa..) Maaf jika artikel ini terlalu kebudak-budakan.

From Hanis the not so big loser.